Blogger Templates

Click here for Myspace Layouts

Tuesday, August 09, 2011

hikmah berpuasa

Peranan puasa pada bulan Ramadhan, antaranya ialah,
Hikmah Pertama:
1. Sebagai perisai daripada perbuatan maksiat dan kejahatan, penyelamat daripada seksaan api neraka, dan pembuka jalan untuk ke syurga.
Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mendirikan solat dan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka adalah menjadi hak (kebenaran) atas Allah untuk memasukkannya ke dalam syurga”.
(HR Bukhari)
“Puasa itu adalah perisai (penyelamat) daripada azab Allah”.
(HR Ahmad)
Orang yang berpuasa dilarang daripada berkata-kata atau bercakap-cakap tentang perkara-perkara keji dan kotor, contohnya mengumpat, menyakiti orang lain, sumpah seranah, maki hamun, perkataan lucah, dan sebagainya. Larangan ini terdapat dalam hadis Nabi salallahu ‘alaihi wasallam:
“Puasa itu adalah perisai, apabila salah seorang kamu pada suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil, dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
(HR Ahmad)

Hikmah Kedua:
2. Kemuliaan orang yang melakukan ibadah puasa adalah melebihi kelebihan ibadah-ibadah yang lain di sisi Allah. Bahkan pahala puasa itu ditulis sendiri oleh Allah subhanahu wa ta’ala:
“Setiap amal kebaikan Bani Adam (ditulis oleh malaikat) pahalanya, kecuali orang yang berpuasa. Sesungguhnya ia (puasa) adalah bagi-Ku (Allah), dan Aku (Allah) lah yang memberinya pahala puasanya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi”.
(HR Bukhari)
Hikmah Ketiga:
3. Bagi orang yang berpuasa; yang meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya, Allah akan menganugerahkan baginya dua (2) kegembiraan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam:
“’Azza wa jalla berfirman: Puasa itu untuk Aku dan Akulah memberinya pahala. Ia meninggalkan syahwatnya, makanannya, dan minumannya kerana Aku. Puasa itu perisai. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya”.
(HR Bukhari)
Hadis Qudsi: “Segala kebaikan yang dikerjakan oleh anak Adam baginya sepuluh kebaikan sepertinya, kecuali puasa, ia untuk-Ku dan Aku sendirilah yang memberi ganjarannya”.
(HR An-Nasa’i)
“Dan sesiapa yang tergolong dalam kalangan orang yang berpuasa, ia akan dipanggil (ke syurga) melalui pintu puasa”.
(HR Bukhari)
Hikmah Keempat:
4. Jika kita menambahkan atau melipatgandakan ibadah-ibadah lain seperti solat sunnat Tarawih, tadarus Al-Quran, berzikir (menurut cara sunnah), bersedekah, merendah diri, bersikap ikhlas, meninggalkan segala larangan Allah dan Rasul-Nya dan sebagainya, maka insya Allah kita akan diberikan keampunan daripada segala dosa, dan diberikan pahala yang amat besar, sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta’ala:
“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap taat dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara farajnya (kehormatannya), lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar”.
(Al-Ahzab, 33:35)



Hikmah Kelima:
5. Kita digalakkan untuk mengiringi (menyertakan) ibadah puasa dengan amalan-amalan sunnah. Selain diampunkan dosa kita dan diberi pahala yang sangat besar seperti yang telah dinyatakan di atas, kita juga akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang siddiqin, syuhada, dan orang-orang soleh, sebagaimana sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam:
“Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu berkata: Bersabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam: Barangsiapa yang bangun (menghidupkan ibadah) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan balasan yang baik), maka diampunkan dosanya yang telah lalu”.
(HR Bukhari)
Diriwayatkan daripada Amr Bin Murrah Al-Juhani radhiallahu’anhu:
“Datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wa sallam lalu ia berkata: Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang hak (benar) kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa Ramadhan dan solat tarawih pada malam harinya, termasuk golongan manakah aku? Baginda menjawab: Termasuk dalam golongan siddiqin dan syuhada”.
(HR Ibnu Hibban)
Oleh sebab itu, marilah sama-sama kita memahami, menghayati, dan mengamalkan ibadah-ibadah dalam bulan Ramadhan ini menurut landasan Al-Quran dan As-Sunnah, berpandukan wahyu Allah dan contoh daripada Rasulullah salallahu ‘alaihi wa sallam.
Janganlah andainya pada bulan yang mulia ini kita cemarkan dengan amalan-amalan bid’ah dan khurafat yang tidak ada asas dan contohnya daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya setiap yang baru itu bid’ah, setiap yang bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat ke neraka. Janganlah kiranya bulan yang dikenali sebagai bulan ibadah ini menjadi bulan bid’ah kerana kejahilan kita!
Na’uzubillahu min zalik.
Wallahu a’lam…

No comments: